Tuesday, June 7, 2011

Drama dan Filem-filem Islami?



Assalamualaikum semua..
Topik yang akan dibincangkan dalam artikel kali ini adalah bertajuk Drama dan Filem-filem Islami..So,let's discuss about it.

Kenapa tajuk ini dipilih?
Ok. Tajuk ini dipilih disebabkan  baru-baru ini kecoh dalam laman Facebook Nur Kasih The Movie (sekitar 2 minggu lepas) dimana ada sesetengah peminat karya islami itu yang mempertikaikan dimanakah karya islami yang diperkatakan terhadap filem itu? Hal ini terjadi apabila admin kepada Facebook  berkenaan yang telah meng'upload' gambar scene di mana Adam (lakonan Remy Ishak) yang sedang mengalami kesakitan dan dalam pada itu Nur Amina (lakonan Tizz Zaqyah) cuba menenangkan Adam. Dan ekoran daripada situasi itu, maka berlakulah persentuhan diantara keduanya. Perdebatan di dalam laman Facebook itu terjadi di antara admin Facebook tersebut dengan segelintir peminat yang tidak menyukai adegan tersebut diselitkan didalam filem yang dikatakan islami tersebut.



Jadi apa kena mengena dengan aku?
al-Kisahnya terjadi apabila tatkala sedang aku melayari laman web cari.com, alih-alih aku mengetahui mengenai kajadian berkenaan dari laman tersebut. Dan seperti biasa, ada yang bersetuju dengan kata-kata mereka yang menyatakan kebenaran, dan ada yang tidak bersetuju dengan kata-kata tersebut dan mengatakan ianya adalah sesuatu yang wajar kerana adegan itu adalah lakonan diantara suami isteri secara logiknya. Jadi, disebabkan itu, aku juga turut terlibat sama di dalam perbalahan tersebut.

Yang pergi Join sekali kenapa?
Sebetulnya, bukanlah menjadi minatku untuk turut serta didalam perbalahan dan diskusi-diskusi mengenai perkara-perkara sebegini. Ini kerana, yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Jadi secara umumnya semua orang telah tahu perkara tersebut sama ada jatuh hukum halal atau haram. Tetapi yang menarik minatnya aku untuk turut serta didalam diskusi tersebut (If we can call it as discussion) apabila ada di antara mereka yang cuba menghalalkan sesuatu yang jelas haram hukumnya itu dengan menggunakan kaedah-kaedah islam yang tidak kena tempat dan masanya.



Apakah kaedah yang digunakan itu?
Kaedah yang digunakan itu adalah 'kaedah darurat' dimana terdapat sesetengah perkara yang haram itu boleh menjadi halal (mengikut prasyaratnya) sekiranya datang satu-satu perkara yang memudaratkan diri manusia tersebut sekiranya dia tidak melakukan perkara yang diharamkan itu. Sebagai contoh apabila seseorang itu hampir mati akibat kelaparan dan kebetulannya didalam situasi-situasi yang mendesak sebegitu, makanan yang haram seperti babi/anjing sahaja yang tinggal untuk dimakan. Dan sekiranya tidak dimakan babi/anjing itu, maka sesuatu yang lebih memudaratkan itu akan terjadi seperti mati, maka itulah yang dikatakan sebagai darurat.
Begitu juga situasinya sekiranya terjadi satu-satu kemalangan/ kejadian yang mendesak, seperti bersalin dan sebagainya, yang sekiranya tidak berlaku sentuhan diantara lelaki dan perempuan, maka ianya akan membahayakan diri si mangsa atau mana-mana ahli yang lain. Maka itu yang dikatakan sebagai darurat.


Apa kena mengena dengan scene tersebut pulak?
Lakonan adalah tidak termasuk didalam perkara-perkara yang boleh dikategorikan sebagai darurat. Ini kerana, sekiranya tidak berlaku persentuhan di antara keduanya, ianya pasti tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada keduanya. Jadi, perkara ini yang menyebabkan aku bersuara di dalam post berkenaan kerana apa yang dikhuatirkan oleh aku adalah, takut sekiranya ada segelintir peminat-peminat filem berkenaan yang terkeliru dengan penjelasan yang diberikan oleh mereka yang cuba menutupi sesuatu yang jelas haram itu dengan menggunakan kaedah islam yang secara automatiknya akan mengelirukan mereka yang membacanya. Dan kejadian yang seperti itu boleh disimpulkan dengan istilah 'sesat lagi menyesatkan', yang akan terus menyebarkan fahaman-fahaman yang salah ini menjadi satu rantaian seperti MLM yang secara tidak langsungnya akan menyebabkan satu bala yang lebih memudaratkan kepada umat sekiranya tidak diperjelaskan.



Di manakah permasalahan yang sebenarnya?
Permasalahan yang sebenarnya terjadi apabila kita cepat melabel apabila kita melihat satu-satu perkara tanpa tabayun/kaji selidik terlebih dahulu. Kita cepat membuat tafsiran demi tafsiran tanpa bertanya terlebih dahulu mengapa begitu dan mengapa begini. Begitu jugalah seperti apa yang terjadi pada drama rantaian dan filem Nur Kasih ini. Terlalu ramai yang melabel bahawa cerita ini adalah satu cerita islami dan akhirnya hampa apabila terjadi perkara-perkara sebegini. Lalu dengan ketidakpuashatian terhadap beberapa babak yang tidak dipersetujui itu, segelintir penonton yang menonton cerita ini mula mengutuk dan memerli bahawa ini bukanlah satu karya islami. Walhal sekiranya direnung kembali, tidak pernah terkeluar di mana-mana  dada akhbar, dari mulut pengarah cerita ini sendiri, yang menyatakan bahawa cerita ini adalah satu cerita islami. Mungkin terdapat segelintir dari kita yang sentiasa beranggapan, sekiranya heroin di dalam mana-mana penceritaan itu memakai tudung dan memakai pakaian muslimah, maka cerita tersebut adalah merupakan satu cerita yang islami (kerana terlalu jarang heroin mana-mana drama/filem yang mengenakan pakaian muslimah maka ia dilabelkan seperti itu).


Adakah cerita yang benar-benar islami di Malaysia setakat ini?
Setakat ini, mengikut penilitian aku, masih tidak ada mana-mana karya drama/filem yang benar-benar 'bersih' seperti apa yang diharapkan oleh sesetengah pihak yang memandang serius terhadap permasalahan ini. Mungkin ada, seperti filem 'Syukur 21' yang pernah dilakonkan oleh kumpulan Raihan dan Yasin satu ketika dahulu, namun kebanyakannya tenggelam dek zaman atau mungkin tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Hatta sekirnya dilihat kepada industri perfileman dan karya-karya dari negara seberang, setakat ini mungkin hanya satu atau dua karya sahaja yang benar-benar bersih penggambaran visualnya seperti Ketika Cinta Bertasbih dan Dalam Mihrab Cinta. Namun karya-karya lain, walaupun dilihat islami, ianya masih boleh dikatakan tidaklah sebersih mana yang diharapkan kerana masih lagi terdapat scene-scene yang menunjukkan watak-watak antagonis wanita yang membuka tudung.
Begitu juga permasalahan yang terjadi di Malaysia, apabila setiap kali dikatakan bahawa satu-satu karya itu islami, pasti akan diselitkan dengan adegan-adegan kerosakan akhlak di bahagian permulaan cerita yang secara tidak langsungnya perlu menunjukkan adegan-adegan di kelab malam dan bar-bar arak namun di pengakhiran ceritanya ianya mula berubah sedikit demi sedikit bagi menunjukkan nilai moralnya kepada masyarakat.



Siapakah yang perlu dipersalahkan?
Rasanya tidak perlu dituding jari siapakah yang harus dipersalahkan sama ada pelakon, krew, penulis skrip, pengarah mahupun penerbit satu-satu karya itu. Seperti yang diperkatakan sebentar tadi, yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Pelakon hanya melakonkan lakonan seperti apa yang diminta oleh pengarah dan masyarakat. Krew produksi pula tidak ada kuasa untuk memperbetulkan apa yang akan divisualkan. Penulis skrip pula hanya menulis sebuah karya dan kemudiaanya ianya menjadi tanggungjawab pengarah bagaimana untuk menvisualkannya. Pengarah pula terikat dengan penerbit, keinginan masyarakat, dan skrip yang telah ditulis oleh penulis. Dan penerbit pula, terikat dengan keuntungan dan modal yang dilaburkannya untuk satu-satu karya.



Perlukah diboikot karya-karya yang sebegini?
Untuk persoalan yang seperti ini, aku cuma boleh menyatakan bahawa, terpulang kepada selera masing-masing. Tepuk dada tanya iman. Sekiranya anda tidak menyukainya, maka tidak ada siapa yang memaksa anda untuk menonton satu-satu karya yang diterjemahkan itu. Bagi aku, untuk menyatakan satu-satu karya itu tidak bagus sama sekali kerana adanya permasalahan-permasalahan seperti ini juga tidak boleh, memandangkan masih terdapat nilai-nilai kebaikan dan unsur-unsur pengajaran serta teladan di dalam karya-karya sebegini. Sebagai contoh, aku sendiri ada 'terpukul' dengan sesetengah dialog yang dilontarkan oleh pelakon-pelakon di dalam drama dan filem Nur Kasih ini. Begitu juga seperti karya Laskar Pelangi dan Sang Pencerah dari seberang, kerana hasil daripada dialog-dialog yang dilontarkan didalam penceritaan ini barulah aku tersedar dan melihat sesuatu perkara yang mungkin tidak aku lihat sebelum ini. Apapun, matlamat tidak menghalalkan cara. Jadi sama-samalah berfikir sendiri sampai bilakah permasalahan ini akan selesai sekiranya tidak ada satu produksi yang ahlinya terdiri daripada kalangan para Ustaz dan Ustazah.
Wallahualam.

P/s: Sedang menyiapkan satu skrip untuk ditayangkan di slot cerekarama TV3. Doakan agar dipermudahkan dan diberi ilham yang baik-baik. Amin. Assalam
















No comments:

Post a Comment

Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...